Header Ads

Header ADS

BSH RM100 Untuk Orang Bujang Perlu Dikaji Dahulu


KUCHING: Kementerian Kewangan telah mengeluarkan siaran media bahawa 'Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 Sebanyak RM100 Untuk Golongan Bujang' petang semalam.

Dalam hantaran tweet akhbar Sinar Harian jam 4.16 petang memaklumkan BSH 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan. (Sumber: Bernama)

Menjadi kebiasaan bagi Kerajaan PH, umum dahulu dan selepas itu mengatakan perkara ini akan dikaji dahulu.

BSH adalah produk yang telah dilaksanakan semasa Kerajaan BN dahulu dengan menggunakan nama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Dahulu BR1M dipanggil 'dedak', tetapi BSH kini dipanggil pemberian ikhlas Kerajaan PH

Dahulunya, mereka (pemimpin PH) telah menggelar BR1M itu sebagai 'dedak' untuk diberikan kepada rakyat bagi mendapatkan sokongan dalam pilihan raya.

Tetapi, pada pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyalin kembali apa yang pernah dibuat kerajaan terdahulu dengan menukar nama dari BR1M kepada BSH.

Bagaimanapun, mereka yang pernah menerima BR1M sebelum ini belum tentu nama mereka masih ada di pangkalan data penerima BSH.

Orang ramai beratur panjang bagi mengemaskini nama penerica Bantuan Sara Hidup di Dewan Masyarakat Serian.

Akibatnya, ramai rakyat telah berasak-asak mengemaskini maklumat mereka sehingga ada yang terpaksa berbaris dan menunggu panjang semata-mata untuk memastikan nama mereka masih ada sebagai penerima BSH.

Untuk rekod, jika sebelum ini jumlah RM1,200 setahun untuk penerima BR1M, tetapi untuk tahun ini Kerajaan PH memberi BSH berjumlah RM1,000 mengikut pendapatan isi rumah, RM750 bagi pendapatan isi rumah RM2,001 hingga RM3,000 dan RM500 bagi mereka yang berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000.

Lebih mendukacitakan, ramai rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman terpaksa berbelanja untuk pengangkutan, makanan dan penginapan semata-mata mahu memastikan nama mereka tersenarai dalam penerima BSH.

Lebih sedih apabila mereka terpaksa mengeluarkan wang saku untuk membuat salinan kad pengenalan diri dan pasangan, salinan sijil kelahiran anak, sijil perkahwinan dan beberapa dokumen lain yang membebankan rakyat.

Jika tiada dokumen berkenaan, maka secara automatik mereka tidak dapat mengemaskini maklumat dan peluang untuk mendapat BSH adalah sangat tipis.


Bagaimanapun, BSH untuk orang bujang ini tiada dalam Belanjawan 2019 ketika dibentangkan dalam Dewan Rakyat Oktober 2018. 

Sebaliknya, diumumkan ketika ini semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pemimpin PH perlu memastikan DUN Semenyih milik mereka selepas kalah kepada calon BN dalam PRK Parlimen Genting Hinglands baru-baru ini.

No comments

Powered by Blogger.