Kerajaan Sarawak Cadang Wujud Sekolah Rendah Khas Sendiri
KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang untuk mewujudkan sekolah rendah khas sendiri untuk anak-anak istimewa di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sekolah khas itu amat diperlukan bagi membolehkan anak-anak istimewa mendapat pendidikan terbaik.
“Statistik daripada pakar menunjukkan bahawa peningkatan jumlah penduduk turut menyumbang kepada peningkatan bilangan anak istimewa.
“Saya tidak tahu mengapa dan untuk menjaga anak-anak istimewa ini adalah tidak mudah kerana mereka penuh emosi dan jika salah urus boleh menjadi bebanan kepada ibu bapa.
“Masalah ini turut berlaku di Singapura dan atas sebab itu saya dan rakan-rakan berpendapat kita perlukan sekolah khas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani yang terletak di Jalan Kulas di sini semalam.
Turut hadir isteri beliau, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang yang juga pengerusi Persatuan Kebajikan Petra Jaya dan penaung Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Satok.
Tambah Abang Johari, beliau telah mencadangkan supaya satu kajian dibuat untuk melihat apa yang sedang berlaku di Sarawak.
Jika dikehendaki seperti Singapura, Kerajaan Sarawak katanya akan adakan sekolah rendah khas ini.
Sebagai permulaan katanya, sekolah khas itu akan diwujudkan di Kuching dan diperluaskan ke kawasan yang ramai penduduk termasuk Miri, Bintulu dan Sibu.
“Sebab itu saya akan arahkan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah untuk membuat kajian dan kerajaan negeri akan biayai sekolah ini.
“Saya rasa kalau ini dapat kita buat mereka boleh jadi sebahagian daripada masyarakat kita,” katanya.
Abang Johari yang ditemui selepas majlis tersebut menambah, sebuah unit khas akan ditubuhkan untuk menguruskan cadangan ini.
Malah katanya, beliau telah mengenal pasti sebidang tanah yang terletak di lokasi strategik untuk membolehkan masyarakat menghantar anak-anak mereka ke sekolah khas itu nanti.
“Sekolah khas ini berkehendakkan guru yang terlatih dan kita mengambil Australia sebagai model.
“Di Australia sekolah rendah amat diberi perhatian dan apabila memasuki peringkat menengah sekurang-kurangnya 60 peratus sudah pulih,” katanya. -Utusan Borneo Online
No comments