Header Ads

Header ADS

Tangguh Dahulu Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan ditangguhkan sehingga perbincangan Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimuktamadkan.

Ketua Whip GPS di Dewan Rakyat, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata persoalan pokok berkaitan hak-hak dan keistimewaan yang dituntut Sarawak termasuklah yang terhakis, tidak dimasukkan di dalam cadangan pindaan berkenaan.

Contohnya dua perkara dimaksudkan ialah:- 

• Perkara 160 mentakrifkan 'persekutuan' dengan merujuk kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, yang hanya melibatkan Semenanjung

• Bilangan Ahli Parlimen, wakil-wakil rakyat dan senator-senator serta ahli Jemaah Menteri Persekutuan, disemak semula bagi mencerminkan perkongsian sama taraf.

"Pindaan mesti merangkumi semangat dan roh yang terkandung dalam MA63 dibaca bersama dengan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.

"Sarawak juga tetap dengan pendirian bahawa sebarang pindaan perlu dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Rang undang-undang bagi meminda perkara itu dibacakan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong di Dewan Rakyat, hari ini.

Semasa dibentangkan, semua Ahli-ahli Parlimen GPS berdiri sebagai tanda membantah cara pindaan itu dilakukan. 

"Pindaan berkenaan seharusnya diperhalusi sebaik mungkin dengan mengambilkira pandangan semua pihak atau pemegang taruh terbabit di peringkat Persekutuan, Sarawak dan Sabah," jelas Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ahli Parlimen Petra Jaya.

Tegas beliau, GPS berpendapat pindaan yang ingin dilakukan hanya bersifat kosmetik dan ia langsung tidak memenuhi aspirasi serta hasrat sebenar rakyat Sarawak.

"Kita berterimakasih dan menghargai usaha kerajaan Pusat untuk membuat pindaan berkenaan, namun kita merasakan ia dibuat secara terburu-buru tanpa memberi peluang yang cukup kepada pemegang taruh serta semua yang terbabit untuk mengkaji dan membincangkan intipati pindaan yang dicadangkan, sebelum ianya dibentangkan di Parlimen," tegasnya.

Ujarnya, pindaan tersebut wajar dilakukan secara menyeluruh melibatkan hak-hak yang sepatutnya dikembalikan kepada Sarawak dan bukan setakat menukar status Sarawak sebagai rakan kongsi sahaja. 

"Penukaran status sahaja tanpa hak yang telah terhakis dikembalikan kepada Sarawak, tidak akan membawa sebarang makna kepada pindaan berkenaan dan apa yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri dan rakyat Sarawak selama ini," jelasnya. -Utusan Borneo

No comments

Powered by Blogger.