Header Ads

Header ADS

Sarawak Akur Keputusan IPC Lucut Hak Malaysia Anjur Kejohanan Renang Para Dunia 2019


KUCHING: Sarawak akur dengan keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang melucutkan hak Malaysia untuk menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 susulan keputusan kerajaan persekutuan melarang atlet Israel daripada bertanding.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri amnya, menerima keputusan badan antarabangsa itu namun tetap menghormati tindakan Malaysia tersebut.
“Kejohanan ini adalah acara antarabangsa di mana Malaysia adalah hos, dan mempunyai pendirian dari sudut menyekat atlet Israel manakala Sarawak hanyalah tempat bertanding saja.
“Jadi, kita akur dengan keputusan kerajaan persekutuan kerana ia membabitkan negara, dan juga akur dengan keputusan antarabangsa itu,” katanya ketika ditemu-bual sempena program ‘Experience Sarawak’ di Kopi O’ Corner, di sini malam Ahad.
Manakala, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan IPC itu amat menyedihkan kerana Sarawak sudah bersiap sedia sepenuhnya bagi menganjurkan kejohanan antarabangsa tersebut yang telah dijadualkan berlangsung dari 29 Julai sehingga 4 Ogos tahun ini.
Bagaimanapun, katanya keputusan itu perlu diterima dengan hati terbuka walaupun berasa sangat kecewa.
“Kita memang sudah bersiap sedia untuk menganjurkan sukan ini walaupun ia masih agak lama, di mana banyak mesyuarat telah diadakan sama ada di dalam mahupun luar negara. Malah, sehingga semalam sebanyak 64 negara melibatkan 1,678 atlet dan pegawai sudah bersetuju untuk menyertai sukan ini, serta membuat tempahan hotel, penerbangan dan sebagainya.
“Tapi walaupun perkara ini sudah kita utarakan kepada IPC, mereka masih lagi mengenepikan kita atas sebab apabila kelulusan diberikan kepada Malaysia untuk mengadakan temasya ini, satu prasyarat tersendiri dalam badan itu adalah tidak boleh mengecualikan mana-mana negara.
“Tetapi semasa kebenaran itu diberikan, ia dibuat pada masa kerajaan lepas, dan dasar baharu ini telah dibuat oleh kerajaan baharu...jadi, kita sebagai negeri dalam persekutuan Malaysia perlu akur dengan keputusan negara kerana ini adalah satu keputusan dasar luar negara Malaysia jadi kita perlu akur,” katanya pada sidang media sejurus selepas itu, bersama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang turut bertanggungjawab ke atas temasya tersebut.
Abdul Karim menambah keputusan IPC itu juga telah menyebabkan kerugian kepada Sarawak, namun tidak mendedahkan jumlahnya kerana persiapan sudah dibuat sejak tahun lepas, di mana negara-negara yang mengesahkan penyertaan juga sudah beberapa kali berkunjung ke Sarawak termasuk para wartawan antarabangsa untuk membuat persiapan.
“Tapi maruah negara perlu kita lihat juga, kalau kerajaan persekutuan telah membuat dasar seperti itu, kita mesti akur sama.
“Kita tidak boleh dilihat sebagai negeri membuat dasar sendiri dan persekutuan juga dengan dasar sendiri..negara luar akan ketawakan kita kalau kita mempunyai dasar yang berlainan dan tidak seiring seperti ini, kita kena menjaga maruah negara,” katanya.
Mengulas kenyataan Presiden IPC, Andrew Parsons bahawa keputusan Malaysia ke atas atlet Israel sebagai alasan politik, Abdul Karim menyifatkan tindakan IPC melucutkan hak Malaysia ke atas penganjuran sukan itu juga sebagai satu mainan politik.
“Hanya kerana satu negara, Malaysia diperlakukan sebegini. Bagi saya, ini satu tindakan politik. Mereka tidak mengambil kira berpuluh negara yang menerima Malaysia sebagai tuan rumah,” katanya. -Utusan Borneo

No comments

Powered by Blogger.