Header Ads

Header ADS

Sarawak Mohon Pertimbangan Khas Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan


KUCHING: Sarawak akan memohon kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar keputusan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dari Sarawak diberi pertimbangan khas.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bagi tujuan itu beliau akan mengetuai Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Muhyiddin pada 22 Februari depan.
"Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk memohon supaya keputusan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A bagi kanak-kanak bawah 21 tahun diberi pertimbangan khas.
"Ini bagi memudahkan mereka bersekolah dan menerima kemudahan seperti pinjaman buku teks, bayaran yuran persekolahan yang rendah serta bantuan-bantuan kerajaan yang lain iaitu kebajikan, kemudahan perubatan di hospital dan klinik kerajaan dan lain-lain," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Fatimah berkata sejak November 2016 setelah jawatankuasa khas itu ditubuhkan sebanyak 631 permohonan taraf kewarganeragaan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan telah dibentangkan sehingga hari ini.
Bagi tahun ini (1 Januari hingga 28 Januari 2019) jawatankuasa khas itu katanya telah menerima 72 permohonan dan dibentang untuk diteliti.
Beliau memberitahu daripada 241 permohonan yang telah dibentangkan sejak November 2016 hingga 2017 sebanyak 95 permohonan telah menerima surat kelulusan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala keputusan yang lain akan dimaklumkan oleh KDN melalui pos terus kepada pemohon.
"Jadi kita amat berterima kasih kepada Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sudi menerima kunjungan hormat kita pada 22 Februari depan," katanya.
Fatimah turut memberitahu mulai tahun ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan satu dasar, tiada kanak-kanak tidak dibenarkan bersekolah. 
"Ia suatu yang baik tetapi kalau kanak-kanak itu perlu membuktikan bahawa permohonan telah dimajukan dalam proses memohon dalam tempoh dua tahun.
"Oleh sebab itulah jawapannya lebih dua tahun, kita berpendapat ia akan menjejaskan kanak-kanak ini.
"Ini kerana kes seperti bapa  kanak-kanak terbabit warganegara tetapi tiada dokumen perkahwinan yang sah, kanak-kanak adalah bukan warganegara seperti ibunya, maka bila masuk sekolah menerusi dasar ini, mereka perlu membayar yuran, iaitu RM120 bagi sekolah rendah untuk tempoh setahun ," ujarnya.
Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus. -Utusan Borneo

No comments

Powered by Blogger.