Ketepikan Perbezaan Politik Demi Kembalikan Hak Negeri Sarawak
KUCHING: Rakyat Sarawak mesti bersatu dalam perjuangan mendapatkan kembali hak-hak negeri ini yang hilang mengikut Perlembagaan Perkutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata rakyat negeri ini mesti bersatu dalam perjuangan itu tanpa mengira perbezaan politik.
"Di tengah-tengah usaha kita untuk memperkukuhkan lagi ekonomi Sarawak dan menaik taraf infrastruktur di negeri ini, kita tidak boleh hilang perjuangan mendapatkan kembali hak-hak kita yang hilang mengikut Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
"Ini adalah kehendak semua rakyat Sarawak yang mesti dihormati kerana rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat 'tidak sihat' untuk kesejahteraan negara," katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2019, hari ini.
Abang Johari berkata semangat 'Utamakan Sarawak' tidak boleh luntur hanya kerana perbezaan politik yang menyebabkan Sarawak dilayan seperti 'anak tiri'.
"Ia bukan jalan yang mudah untuk kita, sebab itulah rakyat Sarawak mesti bertindak dan bersuara dengan satu suara," ujarnya.
Beliau berkata Sarawak tidak hanya kaya dengan alam semula jadi tetapi juga dengan kepelbagaian budaya, cara hidup dan kepercayaan rakyat.
Rakyat Sarawak katanya bebas mengamalkan budaya dan kepercayaan serta cuma mengetepikan elemen dan ideologi yang bertentangan dengan semangat persaudaraan juga perpaduan antara satu sama lain.
Rakyat Sarawak tambahnya meraikan kepelbagaian ini dan mencari persamaan dalam perbezaan antara satu sama lain.
"Kita bangga Sarawak adalah tempat rakyat boleh memahami dan menghormati antara satu sama lain dan boleh hidup dalam masyarakat yang mementingkan perpaduan.
"Tahun Baharu Cina adalah masa yang dinanti-nantikan oleh rakan-rakan kita berbangsa Cina. Dalam tradisi Cina inilah masa untuk menghormati dewa-dewa dan nenek moyang dan masa menyatukan keluarga, meraikan tuah dan nasib baik untuk tahun mendatang," katanya -Utusan Borneo
No comments