Header Ads

Header ADS

Kerajaan Sarawak Sentiasa Mengutamakan Kepentingan Setiap Lapisan Rakyat Sarawak


KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa mengutamakan kepentingan setiap lapisan rakyat di Sarawak. 
Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof yang memberitahu, setiap permasalahan rakyat tidak mengira kaum dan agama sentiasa diberi perhatian sewajarnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat (YAB) Ketua Menteri kita, beliau seorang yang sentiasa mendengar apa jua masalah rakyat tanpa mengira perbezaan.
“Dan kami sebagai wakil rakyat menyampaikan apa jua permasalahan dan suara rakyat kepada beliau dan beliau akan buat keputusan serta dasar yang membantu rakyat,” katanya.
Beliau ketika berucap pada penyampaian sumbangan kepada warga emas dan golongan kurang mampu sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)di Jalan Sungai Tengah, Matang dekat sini semalam.
Mengambil contoh inisiatif bantuan tiket penerbangan untuk pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung, Sabah dan Labuan, Fadillah berkata, ia adalah hasil pertemuan Ketua Menteri bersama anak-anak Sarawak semasa program Lan Berambeh di Kuala Lumpur pada tahun lalu.
“Inilah usaha kita dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat Sarawak dan kerjasama seperti ini haruslah kita kekalkan,” tambahnya yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Menyentuh tentang sambutan Tahun Baharu Cina, beliau berkata Sarawak sememangnya terkenal dengan semangat perpaduan dan toleransi antara kaum yang sangat tinggi.
“Itulah semangat kita sebagai satu keluarga besar tidak kira apa latar belakang, kita bersama-sama merayakannya dalam semangat satu keluarga besar.
“Semangat inilah yang mesti kita jaga dan sebab itu melalui GPS, Kerajaan Sarawak memberi tumpuan sepenuhnya dalam memelihara budaya dan nilai orang Sarawak,” jelasnya.
Pada masa sama beliau menyeru agar rakyat Sarawak mempertahankan semangat cintakan Sarawak demi mem-pertahankan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini. 
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, musim perayaan adalah platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
“Kita walaupun berbeza latar belakang dan agama tetapi kita dapat hidup bersama dan meraikan setiap perayaan bersama.
“Semangat kekeluargaan inilah yang perlu kita pertahankan dan semoga Tahun Baharu Cina ini akan membawa kegembiraan kepada masyarakat Cina khasnya dan rakyat Sarawak amnya,” ujarnya. -Utusan Borneo

No comments

Powered by Blogger.