GPS Perkukuh Jenteranya Di Cawangan N.7 Samariang
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkukuhkan lagi jenteranya dengan pelancaran gabungan parti tersebut bagi peringkat Cawangan N.7 Samariang semalam.
Ketua Cawangan GPS N.7 Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, majlis pelancaran semalam bukan sekadar simbolik tetapi bermulanya gerak kerja GPS bagi kawasan tersebut.
“Selepas pelancaran ini, kita akan mula turun padang kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dan banyak cabaran yang bakal kita hadapi.
“Saya berharap jentera GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi N.7 Samariang ini akan terus fokus dengan apa yang kita laksanakan sebelum ini.
“Kita akan pastikan Samariang kekal sebagai kubu kuat PBB dan GPS,” ujarnya ketika berucap melancarkan GPS Peringkat Cawangan N.7 Samariang di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, semalam.
Hasidah yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang menambah, misi GPS iaitu ‘Utamakan Sarawak’ pasti berjaya jika mendapat sokongan semua ahlinya.
Salah satu agenda utama GPS ialah perjuangan untuk membina Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berasaskan Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Sarawak.
GPS katanya, akan memperjuangkan tanpa kompromi kuasa autonomi imigresen, hak untuk menguatkuasakan undang-undang negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlindungan sempadan negeri dan kedaulatan atas dasar laut dan bawah tanah dan hak hasil-hasil tanah dalam sempadan Sarawak seperti hak minyak dan gas.
“Meskipun kita kini tidak lagi bersama Barisan Nasional (BN) mahupun menyertai Pakatan Harapan (PH) tetapi kita bersyukur kerana kerajaan GPS masih mempunyai visi, misi dan matlamat yang jelas.
“Malah saya yakin sekarang ini, kita lebih bersemangat di bawah GPS untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak dengan cara kita sendiri,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen GPS dan Naib Presiden Kanan PBB.
Pada majlis semalam turut disampaikan penghargaan kepada para pemimpin terdahulu yang banyak menyumbang kepada parti di kawasan N.7 Samariang. -Utusan Borneo Online
No comments