Header Ads

Header ADS

Kuasa Autonomi Sarawak Lindungi Sarawak Daripada Anasir Luar


KUCHING: Kuasa autonomi imigresen Sarawak merupakan pelindung kepada rakyat dan negeri ini daripada pelbagai elemen yang tidak diingini dari luar.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, autonomi imigresen adalah hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh diambil dari Sarawak oleh mana-mana pihak. 
“Saya tidak hanya menyatakan perkara ini di sini, tetapi saya telah menyatakan perkara ini kepada Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa autonomi kita adalah hak yang tidak terbuka kepada sebarang rundingan. 
“Sebab itu, kita mesti terus membina jambatan antara satu sama lain kerana negeri ini memerlukan kita semua bersatu untuk membangun secara ekonomi. 
“Kita tidak boleh jatuh dalam perangkap sendiri, sebaliknya menjadikan kepelbagaian kaum dan agama yang dimiliki sebagai kekuatan untuk kita semua,” ujarnya. 
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Forum Keharmonian Antara Penganut Agama sempena Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Penerangan Islam Sarawak (SIIC) di sini, semalam. 
Teks ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah. 
Mengenai forum tersebut, Abang Johari berkata, penganjurannya di Sarawak menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak kepada perpaduan antara agama, khasnya di negeri ini. 
Justeru, beliau berharap lebih banyak program serta aktiviti sedemikian dapat dianjurkan pada masa akan datang untuk memperkukuhkan kesejahteraan dalam komuniti dan masyarakat Sarawak dan negara amnya. 
Bertemakan ‘Cintai Tuhan, Cintai Jiran,’ forum tersebut merupakan anjuran bersama Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak dan SIIC.
Turut hadir, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Menteri Muda Industri dan Pelaburan Malcolm Mussen Lamoh, Pengarah UNIFOR Datu Dr Ngenang Jangu serta yang lain. -Utusan Borneo Online

  • No comments

    Powered by Blogger.