Header Ads

Header ADS

GPS Punyai Wawasan, Hala Tuju Jelas Dalam Membela Rakyat


BINTANGOR: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai wawasan dan hala tuju jelas mencapai matlamat perjuangannya untuk membela rakyat. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata GPS bukan sebuah kerajaan fantasi namun komited menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di bandar dan luar bandar.
“Komitmen itu bukan fantasi atau omong kosong kerana setiap janji pasti dilaksanakan dengan mengambil kira kemampuan kerajaan dan manfaatnya kepada rakyat.
“Saya mahu rakyat tahu segala projek pembangunan kerajaan Sarawak dilaksanakan mengikut perancangan. Kita ‘cakap serupa bikin’ dan bukannya bercakap kosong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Jalan Kampung Rumah Rentap Balang dan Dewan Serba Guna bagi penduduk Teluk Batu dan Teluk Bulat di sini semalam.
Menurutnya, komitmen itu diterjemah dengan jelas apabila sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) melaksanakan pelbagai projek kampung dan rumah panjang di Muara Lebaan, Bukit Papit, Teluk Bulat dan Teluk Batu di DUN Daro dalam tempoh tiga tahun.
Jelasnya, tiga daripada projek itu sedang dilaksanakan manakala selebihnya bermula selepas penyediaan spesifikasi oleh agensi pelaksana.
“Projek terbabit ialah pembinaan sebuah dewan serba guna dengan kos RM370,000, pembinaan jalan Rumah Bigol, Jackson, Tinggong dan Petrus Anis masing-masing bernilai RM200,000.
“Manakala projek siap pelaksanaan ialah pembinaan jambatan Kampung Lebaan, jalan raya Rumah Rentap, Boniface dan Petrus Anis masing-masing RM200,000,” jelasnya.
Beliau berkata, projek lain dilaksanakan ialah pembinaan jalan konkrit, menaik taraf sistem perparitan, jeti dan menaik taraf jalan kampung.
“Setakat ini, pelaksanaan projek RTP di DUN Daro berjalan lancar sekali gus memberi manfaat dan keselesaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Meradong Baijuri Bidin, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei Teo Ngoung Liong dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

No comments

Powered by Blogger.