Header Ads

Header ADS

Umum Projek Pembangunan Di Sarawak Bukan Janji Kosong - Abang Zohari


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg menyelar tindakan pihak yang menuduhnya sekadar berjanji manis atas pengumuman projek-projek pembangunan khususnya projek mega.
Sambil menekankan ia bukan omong kosong, Abang Johari berkata setiap projek yang bakal dilaksanakan akan memakan sedikit masa kerana terdapat beberapa prosedur perlu diikuti.
"Kami memerlukan tempoh sekurang-kurangnya satu atau dua tahun untuk menyedia dan membuka dan menganugerahkan tender sebelum projek dapat dilaksanakan.
"Saya harap rakyat dapat bersabar dengan kami," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena dengan lawatannya ke Bahagian Betong pada Isnin.
Abang Johari berkata antara yang dipersoalkan adalah pengumuman untuk mewujudkan lapangan terbang di Betong dan projek bas elektrik untuk bandar raya Kuching.
"Kita baharu sahaja melancarkan bas elektrik untuk Kuching dan merancang untuk mendapatkan beberapa lagi termasuk jenis hidrogen. Terdapat pihak yang ragu-ragu tetapi bas itu sudah ada sekarang.
"Kita juga sudah menempah pesawat pengangkut Cessna yang boleh menampung tiga kontena untuk digunakan di Lapangan Terbang Betong yang dicadangkan," katanya.
Beliau menambah, dana sebanyak RM101 juta sudah diperuntukkan untuk lapangan terbang tersebut. 
"Selagi kerajaan GPS memerintah di negeri ini, semua projek yang diumumkan akan dijalankan seperti mana yang dijanjikan," katanya.
Sementara itu, beberapa projek pembangunan bernilai RM650.3 juta diluluskan untuk bahagian Betong dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Ini termasuk RM199.5 juta untuk beberapa batang jalan dan RM102.4 juta untuk projek bekalan air, yang sedang dilaksanakan atau bakal dilaksanakan. 
Dalam majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan projek baru bernilai RM33 juta tersebut yakni meliputi RM18.5 juta untuk pembinaan jalan raya dan RM10 juta untuk projek tebatan banjir di Betong.
Beliau berkata semua projek berkenaan amat penting kerana bahagian itu mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian moden.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

No comments

Powered by Blogger.