Header Ads

Header ADS

Hadi Dan Nur Syakura Muncul Johan Qari Dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 2019


KUCHING: Hadi Mohd Sharkawi dan Nur Syakura Mohamad Musa muncul johan qari dan qariah pada majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak bagi tahun 2019.
Kemenangan itu membolehkan kedua-dua peserta terbabit yang mewakili Bahagian Kuching masing-masing meraih hadiah wang tunai RM8,000, piala pusingan, piala iringan, hadiah iringan , sijil dan pakej menunaikan umrah.
Nur Syakura yang memperoleh markah tertinggi sebanyak 93.1 peratus turut diumumkan sebagai johan keseluruhan pertandingan itu.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam majlis yang diadakan di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah, Kompleks Islam Sarawak di sini, Khamis malam.
Hadir sama, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha serta tetamu kehormat lain.
Naib johan qari dan qariah jatuh kepada peserta dari Bahagian Samarahan dan Miri iaitu Muhamad Hafiez Shafie dan Farra Liza Mohamad Musa yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM6,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.
Tempat ketiga pula disandang oleh peserta qari dari Bahagian Samarahan, Jubni Sulong dan peserta qariah dari Bahagian Limbang, Eza Nurumaiza Japarudin dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM4,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil.
Selain itu, lima peserta turut dipilih sebagai johan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sarawak bagi tiga kategori melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kategori 1-30 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-10 juzuk.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, umat Islam dituntut untuk belajar dan menghayati al-Quran kerana kitab suci yang mulia itu banyak manfaatnya.
“Membaca, menghafaz serta memahami al-Quran adalah jambatan ilmu yang akan meningkatkan darjat dan martabat insan di dunia ini. 
“Melalui ilmu, manusia dapat menguasai dan menguruskan alam serta memanfaatkan segala nikmat kurniaan Allah SWT untuk kemudahan dan kesejahteraan manusia sejagat.
“Justeru, harapan kita melalui penganjuran acara seperti ini (majlis tilawah dan hafazan al-Quran), akan melahirkan lebih ramai qari, qariah dan huffaz untuk mengajar kita serta membawa kemajuan kepada umat Islam di Sarawak pada masa kini dan masa hadapan,” katanya.
Seramai 24 peserta mengambil bahagian dalam tilawah al-Quran tahun ini dengan terdiri daripada 12 qari dan 12 qariah yang mewakili setiap bahagian di negeri ini.
Selain pertandingan tilawah al-Quran, seramai 21 peserta terdiri daripada 13 lelaki dan lapan perempuan menyertai kategori hafazan yang bermula dari 25 Februari lalu. -Utusan Borneo Online

No comments

Powered by Blogger.