Tarikh 1 Mac Berkuatkuasa Larangan Merokok Di Premis Makanan
KUCHING: Berkuatkuasa 1 Mac, larangan merokok di premis makanan mula dikuatkuasakan di seluruh Sarawak.
Hasil pemantauan di beberapa buah premis makanan di Sebuyau, didapati masih ramai pelanggan yang terdiri daripada penduduk kampung menghisap rokok. Lebih mendukacitakan pemilik tidak menampal notis larangan merokok di premis makanannya.
“Kami tahu akan larangan tersebut tetapi tidak tahu ia dikuatkuasakan hari ini,” kata seorang daripada pelangan kepada Pasukan Kembara Utusan Borneo dan The Borneo Post, hari ini.
Malah menurutnya, pemilik premis juga tidak memaklumkan perkara tersebut dan beranggapan bahawa tiada larangan merokok di kedai tersebut.
“Mungkin larangan ini hanya berkuat kuasa di pusat bandar sahaja,” katanya dengan nada bergurau.
Kerajaan Sarawak hari ini menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan termasuk restoran.
Dalam tempoh enam bulan pelaksanaan, tiada saman dikeluarkan kepada mereka yang ingkar sebagai tempoh pendidikan dan kesedaran.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian, berkata Kerajaan Sarawak menggunakan pendekatan sama ditetapkan Kementerian Kesihatan iaitu perokok dibenarkan merokok dalam jarak tiga meter dari restoran.
Katanya, pihaknya menerusi pihak berkuasa tempatan juga akan mengeluarkan surat kebenaran kepada operator berlesen bagi menyediakan lokasi merokok dalam jarak tiga meter dari restoran.
“Kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang tindakan kompaun kepada perokok dalam tempoh enam bulan kerana ia dianggap tempoh untuk mendidik mereka mematuhi undang-undang baru itu,” katanya.
No comments