Header Ads

Header ADS

Sarawak Mula Kuatkuasa Larangan Merokok Di Tempat Makan


KUCHING: Aktiviti penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di tempat makan di negeri ini akan dilaksana selepas tempoh enam bulan penguatkuasaan pendidikan tamat.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata, pewartaan tempat makan sebagai larangan merokok di Sarawak berkuatkuasa pada hari ini, iaitu 1 Mac namun dalam tempoh enam bulan pertama ia merupakan aktiviti penguatkuasaan pendidikan.
"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan mula menjalankan aktiviti penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan bermula 1 Mac 2019 di mana Notis Amaran kepada mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah peraturan yang dinyatakan.
"Namun selepas tempoh enam bulan dari sekarang, pelaksanaan penguatkuasaan sepenuhnya akan dimulakan pada bila-bila masa dan ini melibatkan denda," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pewartaan Tempat Makan Sebagai Kawasan Larangan Merokok peringkat negeri di iCom Square di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan, dan Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Sarawak Billy Sujang.
Menurut Dr Jamilah seramai 480 orang Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran akan ditugaskan di seluruh Sarawak untuk melaksanakan penguatkuasaan tersebut.
Beliau memberitahu semua anggota penguatkuasaan jabatan mempunyai kad kuasa yang akan ditunjukkan semasa aktiviti penguatkuasaan dijalankan.
Katanya, untuk dua minggu pertama bermula 1 Mac 2019, penguatkuasaan pendidikan akan dilaksanakan setiap hari meliputi kesemua atau sebanyak mungkin premis makanan dan diikuti dua kali seminggu untuk tempoh selama dua minggu seterusnya.
"Selepas itu penguatkuasaan akan dibuat secara mingguan selama dua bulan dan seterusnya dua kali sebulan untuk tempoh tiga bulan," katanya.
Tambah Dr Jamilah penguatkuasaan berkenaan dibawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 (Pindaan 2018) dibawah Akta Makanan 1983.
Di bawah Peraturan 22 PPKHT 2004, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Manakala di bawah Peraturan 12 PPKHT 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
"Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun," kata Dr Jamilah. -Utusan Borneo Online


  • No comments

    Powered by Blogger.