Definisi "Persekutuan" Dalam Artikel 160 Perlembagaan Malaysia Tidak Merujuk Kepada Malaysia
KUCHING: Kekeliruan definisi "Persekutuan" di dalam Artikel 160 Perlembagaan Malaysia adalah salah dan bertentangan dengan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) YB Dato' Idris Buang berkata kekeliruan definisi "Persekutuan" dalam artikel 160 Perlembagaan Malaysia menyebabkan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi atau 'Abstain' dalam mengundi Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perkara 1(2).
"Definisi "Persekutuan" dalam artikel 160 Perlembagaan Malaysia sebenarnya membawa maksud "Malaya" dan bukan "Malaysia".
"Ini adalah sebabnya Ahli Parlimen GPS tidak mahu mengundi atau 'abstain' dari mengundi RUU pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, hari ini.
Menurut Dato' Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang menjelaskan "Definisi "Persekutuan" yang sedia ini adalah salah dan harus dipinda sekali lagi.
"RUU pindaan Perkara 1(2) tersebut tidak memberikan apa-apa manfaat kerana ia langsung tidak menunjuk dan memperakukan kedudukan atau status Sabah dan Sarawak sebagai 'equal partner' atau 'equal party' kepada MA63," jelasnya.
Untuk semakan mudah definisi "Persekutuan" yang sedia ada dalam Perlembagaan Malaysia adalah seperti berikut.
"Artikel 160: "Persekutuan" ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.
"Sepatutnya berbunyi "Persekutuan" ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
"Disebabkan definisi salah ini masih tertera di dalam Perlembagaan, maka RUU pindaan Perkara 1(2) menjadi tidak lengkap dan tidak bermakna dan seterusnya tidak disokong serta gagal mendapat 2/3 undi," ujarnya.
Malah, tegas Dato' Idris lagi RUU pindaan Perkara 1(2) tersebut tidak lengkap, terlalu mentah dan kosong tanpa ini atau intipati yang dikehendaki oleh rakyat Sarawak dan Sabah.
"Ia dibuat seperti "melepas batu di tangga" dan atas dorongan nafsu politik Pakatan Harapan (PH).
"Maka, ia boleh dikatakan sebagai helah politik semata-mata (a mere political ploy).
"Jika RUU pindaan Perkara 1(2) itu diluluskan sekalipun, ia tidak ada langsung memberikan apa-apa makna atau manfaat dari segi 'equal partner status'. Juga, menambah kekeliruan rakyat," tegasnya.
Disebabkan usaha Kerajaan PH ini yang membentangkan RUU pindaan Perkara 1(2) itu tidak telus, tidak tulus dan tidak ikhlas terhadap rakyat Sarawak dan Sabah menyebabkan ianya tidak diundi Ahli Parlimen GPS.
No comments