Generasi Muda Berilmu Diperlukan Capai Negeri Maju 2030
KUCHING: Sarawak memerlukan generasi muda berbakat dalam pelbagai ilmu pengetahuan untuk mencapai matlamat menjadi negeri maju menjelang 2030.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelbagai peluang dalam bidang fizik, kimia dan sains, selain Revolusi Industri 4.0 kini sudah tersedia, justeru harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak Sarawak.
“Bagi mencapai Revolusi Industri 4.0 kita menggunakan infrastruktur untuk melompat dari Revolusi 2.0 kepada 4.0 selain memerlukan generasi muda yang mampu mengubah sumber kepada sesuatu yang boleh dipasarkan kepada dunia.
“Saya menyeru kepada anak-anak muda kita untuk menggunakan apa yang telah disediakan dan mencari jurusan bidang yang berkaitan pembangunan negeri sekali gus menghubungkan diri dengan kehendak dunia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Latihan dan Kerjaya Sarawak (SCaT Fair) Ke-8 yang dihadiri Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong serta Pengerusi TEGAS Datu Len Talif Salleh di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Abang Johari berkata, dengan bakat yang betul serta kreativiti anak-anak muda selain diiringi pemimpin yang kreatif, Sarawak mampu melompat dari Revolusi Industri 2.0 kepada 4.0.
“Kita mahu anak-anak Sarawak menimba pengetahuan ini dan menggunakannya untuk menukar atau mengubah Sarawak supaya dapat menghasilkan sesuatu yang baharu melalui imaginasi mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, belia yang mungkin mempunyai kelebihan dalam bidang kemahiran harus melanjutkan pendidikan ke institusi kemahiran seperti politeknik selepas tamat sekolah menengah.
Katanya, bagi mereka yang mempunyai kecemerlangan akademik pula dan berjaya memasuki universiti perlu memilih jurusan yang sesuai dengan permintaan masa kini.
“Sebagai contoh seorang saintis terkenal, Albert Einstein, beliau memulakan persekolahannya bukan di universiti elit tetapi politeknik sahaja dan menjadi saintis dikenali.
“Perkara seperti ini harus menjadi inspirasi kepada anak muda kita, yang boleh melanjutkan pengajian mereka ke politeknik sekiranya tidak dapat memasuki universiti,” ujarnya.
Selain itu, Abang Johari berkata, para pelajar atau generasi muda juga perlu melengkapkan diri dengan menguasai bahasa Inggeris selain Mandarin yang amat penting untuk berkomunikasi.
Katanya, dua negara kuasa ekonomi dunia kini ialah Amerika Syarikat dan China.
“Ini bermakna, kita harus menguasai bahasa inggeris dan Mandarin, maka itu saya menggalakkan anak-anak Bumiputera kita belajar di sekolah Cina,” katanya. -Utusan Borneo Online
No comments