Akhirnya Impian Penduduk Tanjong Datu Memiliki Jajaran Telok Melano-Sematan Jadi Kenyataan
SEMATAN: Impian penduduk di sepanjang Jajaran Telok Melano ke Sematan untuk memiliki jalan raya yang baik menjadi kenyataan dengan rasminya laluan baharu itu, semalam.
Laluan sepanjang 32.77 kilometer itu dibuka secara rasmi oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama Menteri Kerja Raya Baru Bian.
Dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari berkata, perasmian jajaran itu semalam bermakna impian Allahyarham Tok Nan telah tercapai.
Jajaran itu mula dibina pada 15 September 2015 dengan kos RM580 juta dan siap sepenuhnya mengikut jadual pada 4 Januari 2019.
“Ketika Lebuhraya Pan Borneo dimulakan, kilometer 0.00 pada awalnya bermula di Sematan, tetapi Tok Nan minta disambungkan dari Telok Melano.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana meneruskan projek ini dan berharap jalan raya ini menjadi pemangkin kepada ekonomi kita,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak mempunyai perancangan untuk menjadikan kawasan Tanjong Datu sebagai pusat pelancongan.
Bagi tujuan itu katanya, kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk membiayai projek pembinaan Jambatan Rambungan di Sempadi dekat Lundu.
Jambatan tersebut katanya, akan menghubungkan Tanjong Datu dengan bandar raya Kuching dan terus ke Santubong.
“Keduanya, kita juga akan menaik taraf jeti di Sematan kepada jeti terapung dengan peruntukan RM5 juta yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
“Selain itu, kita juga akan membangunkan Rumah Spektra Permata di Sematan dan juga Lundu untuk memenuhi keperluan rakyat di kawasan ini.
“Semua perancangan ini adalah untuk manfaat semua rakyat termasuk mereka yang terlibat dalam sektor pertanian,” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan Anugerah Keselamatan di Tapak Pembinaan: Dua Juta Masa Bekerja Tanpa Kemalangan dan Anugerah Kontraktor Terbaik Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bagi Januari hingga Jun 2018 dan Julai hingga Disember 2018.
Turut disampaikan cenderahati projek pembangunan sekolah daif kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Paon Temaga, Lundu sebelum acara pelepasan lawatan tetamu kehormat ke Telok Melano.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Pengerusi Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd Tan Sri Ahmad Urai Hakim Abang Mohideen. -Utusan Borneo
No comments