Header Ads

Header ADS

Wabak Rabies Diisytihar Sebagai Bencana Tahap II


KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengisytiharkan wabak rabies sebagai Bencana Tahap II, mulai 25 Januari.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi JPBNS, perkara terbabit telah diputuskan selepas ia dibentangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Keputusan ini dibuat setelah kes positif rabies ke atas manusia seramai 16 orang (15 orang daripadanya telah meninggal dunia dan seorang masih hidup tetapi dalam keadaan kritikal).
“Juga, jumlah kawasan positif rabies ke atas haiwan meningkat kepada sebanyak 61 kawasan di seluruh Sarawak kecuali Bahagian Limbang,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.
Pengurusan Bencana Tahap II ialah pengurusan dan pengendalian kejadian bencana yang berlaku melebihi daripada satu daerah di negeri sama yang memerlukan penyelarasan dan penggemblengan sumber di peringkat negeri dengan bantuan daripada peringkat pusat.
Uggah berkata, JPBNS bertanggungjawab untuk menggerakkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri bagi memastikan segala tindakan dilaksanakan secara teratur, cekap dan terselaras.
Menurut beliau, pesuruhjaya polis negeri dan pengarah bomba dan penyelamat negeri pula akan bertindak sebagai komander dan timbalan komander operasi bencana apabila pengendalian bencana diambil alih secara keseluruhannya oleh peringkat negeri.
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan penambahbaikan dalam pengurusan Operasi Wabak Rabies dengan menggunakan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membanteras wabak itu dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Antara intipatinya ialah pengurusan kes rabies yang lebih berkesan bagi manusia dengan memberi kesedaran dan berkomunikasi akan risiko penyakit tersebut.
Selain itu katanya, pengawalan penyakit rabies yang bersepadu termasuk mengambil tindakan ke atas anjing terbiar, menambah baik fasiliti diagnostik dan meningkatkan aktiviti survelan, menguatkuasakan pelesenan dan vaksinasi anjing dan menambah bilangan sumber manusia dan logistik yang diperlukan.
Orang ramai ujar beliau, dinasihatkan tidak membiarkan anjing mereka terlepas atau bebas. 
Pemilik anjing juga dinasihati tidak membawa keluar anjing dari kawasan wabak rabies tanpa kebenaran bertulis daripada Pihak Berkuasa Veterinar Negeri (SVA).
Denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya boleh dikenakan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 37 (2) & (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, tegas beliau. -Utusan Borneo

No comments

Powered by Blogger.