STB Optimis Mampu Tarik 5 Juta Pelancong Sempena Tahun Melawat Sarawak 2019
SIBU: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) optimis Tahun Melawat Sarawak (TMS) 2019 mampu menarik ketibaan pelancong seramai lima juta orang.
Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Salleh Askor berkata sasaran itu dapat dicapai jika semua pihak berkepentingan dalam industri pelancongan bekerjasama.
“Ini tidak boleh dicapai jika hanya bergantung kepada STB atau kementerian. Di sinilah semua pihak berkepentingan bekerjasama dan salah satu pihak berkepentingan itu media.
“Ia adalah tugas media membuat pelancong berasa teruja semasa mereka berada di sini. Kita sudah bersedia dengan banyak perkara mengalu-alukan kedatangan mereka,” katanya ketika berucap pada STB Bersama Media di sini malam kelmarin.
Sharzede juga menggesa pemain industri pelancongan di rantau tengah bersedia menerima pengunjung Eropah yang dijangka berada di sini sempena TMS 2019.
Katanya, STB baharu sahaja pulang dari Helsinki dan Denmark dan mereka mempromosikan wilayah tengah Sarawak.
“Kami bercerita kepada mereka mengenai keunikan Sibu dan orang ramai sangat teruja.
“Kami berjaya menutup tawaran sekumpulan orang di Helsinki dan Denmark dan mereka mula menghantar pelancong mereka untuk melihat keunikan yang ada di Sibu,” katanya.
Beliau sebelum ini mengatakan bahawa Sibu mempunyai banyak potensi pelancongan.
“Sibu mempunyai banyak tempat menarik sangat unik dan makanan tempatan yang menggiurkan,” katanya.
Kira-kira 30 pengamal media pelbagai organisasi menghadiri majlis itu dan mereka dihiburkan band tempatan, Meruked. -Utusan Borneo
No comments