Header Ads

Header ADS

GPS Ditubuhkan Bagi Memastikan Sarawak Berdiri Sendiri Tanpa Terikat Dengan Konsensus


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) ditubuhkan untuk memastikan Sarawak mampu berdiri sendiri tanpa lagi perlu terikat dengan konsep ‘sebulat suara’ atau konsensus.
Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, GPS adalah platform terbaik untuk Sarawak ekoran perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Tegasnya, gabungan yang terdiri daripada parti tempatan iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) cara terbaik untuk membawa Sarawak maju ke hadapan dari segi politik, sosial dan ekonomi.
Tambah beliau lagi, gabungan itu juga tidak lagi terikat dengan mana-mana parti politik dari luar sekali gus dapat memastikan hak Sarawak dalam pembentukan Malaysia dapat dikembalikan mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kalau dahulu setiap keputusan untuk Sarawak bergantung kepada keputusan sebulat suara atau kita panggil konsensus tetapi sekarang kita bebas menyuarakan dan mempertahankan hak negeri kita tanpa lagi melibatkan parti dari luar.
“Sekarang kita sudah berdiri dengan kaki kita sendiri, kita boleh memutuskan keputusan kita sendiri, kita lantang menyuarakan hak kita tanpa lagi rasa takut.
“Oleh itu, kita harus berdiri bersama lebih kukuh lagi dalam kita mempertahankan dan memperjuangkan hak Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi dialog awam pada majlis pelancaran GPS Zon Satu di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak Laut di sini semalam.
Justeru, Abang Johari berkata, keputusan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan GPS adalah tepat demi menjaga kepentingan rakyat dan hak Sarawak.
Pada masa sama, beliau mendedahkan, proses mengembalikan hak Sarawak yang terhakis masih dijalankan di peringkat Jawatankuasa Perundingan.
“Ia dilakukan dalam tiga peringkat iaitu melibatkan Jawatankuasa Perundingan, kedua Jawatankuasa Teknikal yang akan mengkaji undang-undang secara terperinci dan ketiga Jawatankuasa Kerja yang akan melaksanakan keputusan.
“Mesyuarat pertama yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan rundingan ini mungkin akan mengambil masa enam bulan atau lebih,” jelasnya ketika menjawab pertanyaan peserta dialog awam itu.
Menyentuh tentang askar alam maya seperti RBA (Red Bean Army) yang ditubuhkan Parti Tindakan Demokratik, Abang Johari berkata, ia terpulang kepada wakil rakyat sama ada mahu menubuhkan pasukan alam maya atau tidak.
Namun, beliau tidak menolak kepentingan pasukan alam maya dalam menyebar luas maklumat dan fakta penting bagi memastikan rakyat terutamanya pengguna alam maya tidak terpengaruh dengan berita palsu dan sebagainya.
Pada sesi itu, beliau turut mengumumkan kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM19 juta untuk mengatasi masalah hakisan tebingan sungai di Kampung Tambirat.
Sesi dialog awam yang dihadiri lebih 500 ahli GPS itu menyaksikan Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi sebagai moderator. -Utusan Borneo

No comments

Powered by Blogger.