Keikhlasan Dan Kesungguhan Perjuangkan Hak Sarawak Keutamaan Memenangi Hati Rakyat
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) wajar menjadikan keikhlasan dan kesungguhan untuk memperjuangkan hak Sarawak sebagai keutamaan bagi memenangi hati rakyat negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau percaya kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands adalah disebabkan keikhlasan parti itu yang banyak membantu rakyat di sana.
“Kemenangan calon BN di Cameron Highlands memberi keyakinan kepada GPS untuk terus memperjuangkan hak rakyat kerana akhirnya kebenaran akan terbukti bahawa rakyat hanya akan memilih parti yang benar-benar ikhlas berjuang.
“Tahniah kepada calon dan pengundi di Cameron Highlands kerana terus mempercayai kewibawaan BN.
“Kemenangan ini akan memberi galakan untuk kita sentiasa bekerja keras sejajar dengan misi GPS yang mendahulukan Sarawak dan insya-Allah, usaha ini akan dapat dirasai oleh rakyat kita.
“Jadi, marilah kita terus turun padang, mendekati rakyat dan berinteraksi dengan mereka meskipun banyak cabaran dan rintangan dihadapi,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Amal Kuching Bodhi Path Society sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2019 di Lorong C, BDC di Kuching, semalam
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan media mengenai kemenangan BN pada PRK Parlimen Cameron Higlands Sabtu lalu (26 Januari), dengan menyaksikan Ramli Mohd Nor (calon BN) mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi.
Sementara dua calon Bebas, Sallehuddin Abdul Talib mendapat 314 undi dan Wong Seng Yee meraih 276 undi.
Fatimah yang juga Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, beliau percaya kekalahan PH ditangan BN antara lain berpunca daripada kegagalan parti itu mengotakan janji yang dilihat dalam manifesto mereka.
“Apa yang mereka (PH) janjikan dan apa yang mereka lakukan sekarang adalah sangat berbeza. Maka itu, saya percaya ia adalah salah satu sebab kenapa rakyat mengundi BN dan menolak PH,” katanya.
Melihat kepada kemenangan BN di Cameron Higlands itu, kata Fatimah rakyat harus diyakinkan bahawa kerajaan negeri pimpinan GPS sememangnya membantu dan memperjuangkan hak rakyat Sarawak.
Menurutnya, GPS komited dalam perjuangan untuk memperjuangkan hak Sarawak dan memajukan negeri ini.
“Oleh kerana banyak peruntukan kita daripada kerajaan persekutuan dikurangkan, malah ada projek dibatalkan, maka kita sekarang harus bergantung pada diri sendiri untuk mencari pendapatan bagi membantu melaksanakan dan meneruskan projek melibatkan infrastruktur, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya demi kepentingan rakyat,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, Fatimah menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan asas dan wang tunai daripada Kuching Bodhi Path Society kepada 105 keluarga yang memerlukan sempena sambutan TBC.
Hadir sama pada majlis itu ialah wakil daripada Kuching Bodhi Path Society Ai Lin Tay. -Utusan Borneo
No comments