Kerajaan Sarawak Ulangi Pendirian Sedia Bekerjasama Dengan Kerajaan Persekutuan Demi Keutamaan Rakyat
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak tidak mempunyai masalah untuk kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) dalam menyediakan infrastruktur pembangunan di Sarawak.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata Kerajaan Negeri Sarawak mengulangi pendirian bahawa Sarawak sedia bekerjasama dengan Kerajaan PH dalam menyediakan infrastruktur pembangunan di Sarawak biarpun berlainan idealogi politik.
"Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan (Kerajaan PH) kerana meneruskan projek ini dan berharap jalan raya ini menjadi pemangkin kepada ekonomi kita.
"Siapnya Jajaran Telok Melano-Sematan ini bermakna impian Allahyarham Tok Nan telah tercapai. Jajaran ini mula dibina pada 15 September 2015 dengan kos sebanyak RM580 juta dan siap sepenuhnya mengikut jadual pada 4 Januari 2019," katanya semasa berucap di Perasmian Lebuhraya Pan Borneo Jajaran Telok Melano-Sematan baru-baru ini.
Katanya, cadangan asal Lebuhraya Pan Borneo pada titik perpuluhan 0.0 di Sematan, tetapi atas cadangan Tok Nan dan dipersetujui Kabinet Sarawak maka ianya dianjak ke Telok Melano.
Atas sebab itu, laluan sepanjang 32,77 kilometer itu telah dibuka secara rasminya pada Sabtu lepas.
Sementara itu, Abang Zohari turut memaklumkan akan meningkatkan pembangunan di kawasan Tanjong Datu sebagai pusat pelancongan di masa akan datang.
Atas keperluan itu, Kerajaan Negeri Sarawak akan mengambil alih tanggungjawab daripada Kerajaan PH yang telah membatalkan pembinaan Jambatan Rambungan dengan alasan kekurangan peruntukan walaupun ianya telah diluluskan peruntukan sewaktu Kerajaan Persekutuan terdahulu.
"Jambatan tersebut penting dalam menghubungkan kawasan Tanjong Datu dan Kuching yang terus ke Santubong menerusi jalan pesisir," katanya.
Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri Sarawak juga menaik taraf jeti di Sematan kepada jeti terapung dengan nilai RM5 juta dan membangunkan Rumah Spektra di Sematan dan Lundu bagi keperluan rakyat.
Kerajaan Negeri Sarawak turut mengambil langkah sama dengan mengambil alih pembinaan Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Igan yang turut dibatalkan pembinaannya oleh Kerajaan PH. -PJ Koner
No comments