Header Ads

Header ADS

Projek Tebatan Banjir Perlu Dilaksanakan Demi Kepentingan Rakyat


KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan terus membawa isu projek tebatan banjir khasnya kawasan Kuching dan Santubong kepada kerajaan persekutuan.
Menurutnya ia terutama projek tebatan banjir yang sebelum ini tidak dilaksana kerana dibekukan selepas kerajaan pusat bertukar.
"Bagi masalah banjir di Kuching saya akan berurusan dengan pihak di Kuala Lumpur dan kita perlu menjalin kerjasama baik demi kepentingan rakyat.
"Saya akan mendesak mereka (persekutuan) untuk menunaikan janji dan ia perlu ditunaikan sama ada daripada BN atau PH kerana apa yang penting adalah manfaat kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas taklimat bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sini, hari ini.
Wan Junaidi berkata di kawasan bandar Kuching, Santubong dan sebahagian kawasan Samarahan, terdapat 10 kawasan dikenalpasti yang terjejas banjir khasnya baru-baru ini iaitu pada 19 hingga 22 Januari.
Antaranya kata beliau termasuk Hospital Umum Sarawak (HUS), Batu Lintang, kuaters kerajaan, Kampung Tabuan, SK Muara Tuang, Taman Malihah, Kampung Gersik, Kampung Sinjan, Kampung Sungai Batu, Sungai Lumut, Sungai Buah dan Kampung Buntal.
Beliau berkata di bandar Kuching khasnya kebanyakkan daripada kawasan terjejas banjir itu termasuk dalam projek tebatan banjir bernilai RM150 juta yang telah diumumkan, sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2018.
"Namun apabila kerajaan BN tewas pada Mei 2018, projek-projek ini tergantung dan ia tidak dapat dilaksanakan pada tahun lepas.
"Jika ia dilaksanakan 2018, projek dijangka siap awal tahun 2020. Projek dibekukan kerajaan baharu dan perbincangan dengan kontraktor yang dilantik pada tahun 2017 tidak lagi dipakai," tegasnya.
Wan Junaidi memberitahu, maka itu projek tebatan berkenaan akan dibuka tender semula pada 2021.
Disebabkan perkara itu katanya bandar Kuching dijangka akan terus terjejas banjir sehingga tempoh berkenaan.
Selain itu katanya skop kerja dan cara pelaksanaan juga akan diubah memandangkan kontraktor juga berubah. -Utusan Borneo

No comments

Powered by Blogger.